Wednesday, September 16, 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI



Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri
Semoga Allah mengurniakan kita ketenangan dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup yang silih berganti, detik demi detik dalam mencari keredhaanNya. Semoga Allah mengekalkan iman yang kita miliki dan meningkatkannya hari demi hari. Semoga Allah menyempurnakan akhlak kita dan memperelokkan rupa paras kita dan menjadikan kita sesedap mata memandang bagi seluruh makhluk ciptaanNya.
Syawal berkunjung tiba, seperti biasa syawal akan dipenuhi dengan budaya ziarah-menziarahi dan sedekah-mensedekahi, cuma dikesempatan yang ada, inginku berpesan pada diriku dan teman-teman supaya menjaga adab-adab ziarah, ambillah masa seketika untuk belajar sejenak tentang adab-adab ziarah. Supaya ziarah yang kita lakukan mendatangkan pahala kepada kita dan kepada orang yang menerima ziarah kita.
Pelihara mata ketika ziarah usah melilau mata memandang harta benda tuan rumah kecuali dengan keizinan dan redha tuan rumah, pelihara suara ketika berbicara ketika menziarah, pilih masa yang paling sesuai ketika ziarah, dan pastikan tempoh ziarah tidak terlalu lama supaya tuan rumah memiliki masa untuk berehat ataupun memiliki peluang turut sama meraikan aidilfitri dengan aktiviti-aktiviti yang dirancangnya bersama keluarga.
Jika mampu, bersedekahlah kepada mereka yang lebih afdhal, usah bersedekah kerana memilih bulu, atau keturunan, atau latarbelakang semata-mata kerana ingin menjaga standard atau menjaga nama. Seafdhal-afdhalnya sedekahlah kepada orang miskin yang benar-benar memerlukan. Berkongsilah sinar aidilfitri dengan mereka yang benar-benar memerlukan terutamanya anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya dan tidak lupa terhadap warga tua.
Allah SWT bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, “Tahukah kamu mengapa Aku memberi gelar kepadamu Khalilullah, kekasih Allah? Nabi Ibrahim menjawab; Tidak tahu ya Rabb! Lalu Allah menegaskan, Lantaran kamu suka memberi makan orang-orang miskin dan solat dikala orang lain sedang tertidur lelap".
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada isterinya, "Wahai Aisyah, cintailah orang miskin dan akrablah dengan mereka, supaya Allah akrab juga dengan engkau pada hari kiamat" (HR Al Hakim). "Allah semakin memperbanyakkan kenikmatanNya kepada seseorang kerana ia banyak diperlukan oleh orang lain. Barangsiapa enggan memenuhi keperluan-keperluan orang lain bererti ia telah merelakan lenyapnya kenikmatan bagi dirinya" (HR Baihaqi).
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, "Orang yang bekerja keras untuk membantu janda dan orang miskin adalah seperti pejuang di jalan Allah atau seperti orang yang terus menerus solat malam atau terus berpuasa" (HR Muslim). "Segala sesuatu ada kuncinya, dan kunci syurga adalah mencintai orang-orang miskin" (HR Ad Daruqutni dan Ibnu Hiban).
 
Semoga syawal yang menjelma kali ini, memberi pengertian yang lebih bermakna kepada kehidupan kita. Dikesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari, memohon jutaan kemaafan di atas keterlanjuran kata, keterlampauan tindakan, ketersinggungan rasa sepanjang perhubungan bersama. Semoga Allah memberi kekuatan dan menggerakkan hati, akal dan tubuh saya untuk memperbaiki segala kekhilafan yang telah dilakukan selama ini.
Wallahualam
FaizalZainol

3 comments: